KISAH TAUBAT:
Nabi Adam AS, manusia pertama, telah melakukan kesalahan. Ketika itu beliau mendiami syurga. Manusia secara tabi’inya tidak dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan, sekalipun mereka tinggal di dalam syurga yang serba menyenangkan, apatah lagi mereka tinggal di dalam dunia yang serba memayahkan. Nabi Adam AS mengakui kesalahannya dan kembali kepada Allah SWT, memohon agar Allah SWT mengajarkannya apa yang perlu dibuatnya bagi menutup kesalahannya dan menggantikannya dengan kebaikan. Allah SWT Yang Maha Pengampun Maha Penyayang mengajarkan kepada Nabi Adam AS beberapa kalimat, iaitu cara bertaubat.
Nabi Adam AS bertaubat dengan penuh keinsafan dan keikhlasan. Allah SWT yang mengajarkan Nabi Adam AS bertaubat itu menerima taubatnya dan mengampunkan kesalahannya. Taubat yang dilakukan oleh Nabi Adam AS adalah taubat yang disertai oleh iman dan diikuti oleh amal soleh. Taubat yang demikian menghapuskan kejahatan dan menggantikannya dengan kebaikan.
Iblis, jin yang pertama diciptakan Tuhan, telah melakukan kesalahan. Kesalahan Nabi Adam AS adalah lupa kepada pesanan Tuhan. Kesalahan iblis pula adalah engkar kepada perintah Tuhan. Nabi Adam AS mengakui kesalahan dan bertaubat. Namun iblis laknatullah tidak mahu mengakui kesalahannya dan enggan bertaubat. Nabi Adam AS yang bertaubat menerima nikmat keampunan dari Allah SWT. Iblis yang enggan bertaubat menerima kemurkaan dan laknat dari Allah SWT selama-lamanya. Nabi Adam AS kembali kepada Allah SWT dan keselamatan-Nya, manakala iblis tercampak jauh dari Tuhan dan hilang peluang untuk kembali. Di akhirat kelak, taubat membawa Nabi Adam AS kembali kepada syurga dan iblis pula akan dicampakkan ke tempat kembali yang paling buruk, iaitu neraka jahannam.
Taubat adalah jalan kembali kepada Tuhan. Apabila manusia melakukan dosa dia tercampak jauh dari Tuhan. Jika dia tidak bertaubat, dia tetap tinggal jauh dari Tuhan. Jika kemudiannya dia berbuat kebaikan, maka dia berbuat baik dalam keadaan jauh dari Tuhan. Dia boleh melakukan suruhan syariat, namun tanpa taubat dia menjadi ahli syariat yang jauh dari Tuhan.
Hamba yang melakukan kesalahan amat perlu bertaubat. Taubat merupakan cetusan iman, iman yang menguatkan amal soleh. Tanpa iman, tidak ada amal soleh. Amal tanpa taubat sebenarnya tidak berpangkal kepada iman. Amal yang demikian sangat sedikit nilai solehnya. Soleh itulah yang menentukan darjat kemuliaan sesuatu amal itu di sisi Tuhan. Amal yang tidak disertai oleh taubat tidak banyak memberi pahala.
Pahala bukan sahaja berguna di akhirat, malah keberkatan pada rezeki dan kesejahteraan hidup di dunia merupakan terjemahan kepada pahala yang diperolehi daripada amal yang soleh.
Perkataan yang keluar daripada hati yang bersih dan dibaluti oleh cahaya suci menyinar pada cermin hati orang yang mendengar. Hati yang menerima pancaran cahaya suci daripada orang suci akan menjadi jaga dan hidup. Hati yang hidup itu melakukan taubat dengan sebenar-benarnya. Orang arif yang mampu membimbing orang lain memasuki pintu taubat adalah orang yang telah sampai kepada makam kehampiran dengan Allah SWT. Kemudian mereka dihantar balik kepada alam rendah bagi membimbing orang lain yang berpotensi tetapi masih ada kecacatan dan kelemahan.
Dalam melaksanakan tugas tersebut orang arif berjalan menurut sunnah Rasulullah SAW. Tugas pembimbing kerohanian berbeza daripada tugas seorang Rasul. Rasul ditugaskan menyampaikan kepada semua orang. Pembimbing kerohanian tidak mengajarkan semua orang. Mereka hanya mengambil orang-orang tertentu sahaja, yang dipilih untuk mengikuti latihan intensif bagi menambahkan bilangan orang arif yang akan berkhidmat kepada orang ramai. Rasul diberi kebebasan dalam melakukan tugas berdakwah tetapi pembimbing jalan kerohanian mesti mengikuti jalan rasul, tidak boleh membuat jalan sendiri.
Guru kerohanian yang mengaku dirinya bebas daripada sunnah Rasulullah SAW, mendakwa dirinya sama dengan nabi, sebenarnya telah jatuh ke dalam kesesatan dan kekufuran. Guru kerohanian yang benar berpegang teguh kepada prinsip agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW, tidak membawa peraturan baharu. Cara penyampaian mereka boleh jadi berbeza dengan cara Rasulullah SAW kerana kebijaksanaan manusia tidak sama, tetapi perbezaan cara tidak sampai mengubah hukum dan peraturan.
Orang arif yang benar mempunyai ‘kehampiran’ dengan Rasulullah SAW melebihi kehampirannya dengan isteri, anak dan kaum keluarga mereka. Kehampirannya adalah kehampiran kerohanian yang lebih erat daripada hubungan darah daging.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.