Perkampungan Ayah Pin dibakar LELAKI BERTOPENG
BESUT 18 Julai - Sekumpulan 40 hingga 50 orang lelaki antaranya bertopeng ala ninja menyerbu dan membakar markas utama kumpulan ajaran sesat Ayah Pin di perkampungan `Kerajaan Langit' di Batu 13, Hulu Besut di sini, awal pagi ini.
Kumpulan lelaki yang sebahagian besarnya berpakaian hitam dan bertopeng, termasuk ada yang berjubah, berkopiah dan berlilit kepala membakar dan merosakkan beberapa replika gergasi termasuk replika payung kuning, replika bulan sabit, replika cerek dan dewan perhimpunan yang dijadikan tempat berkumpul pengikut Ayah Pin.
Antara replika gergasi di situ ialah kapal yang didakwa bahtera Nabi Noh.
Turut dibakar ialah sebuah kereta Pajero milik Ayah Pin yang ditempatkan di garaj berhampiran pintu utama markas tersebut.
Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Mohamad, 65, dan keempat-empat isterinya bagaimanapun tiada di tempat kejadian ketika serbuan dilakukan antara pukul 4.30 hingga 5 pagi ini.
Bagaimanapun dalam kejadian selama hampir setengah jam itu, pengikut Ayah Pin tidak dicederakan dan sebahagian besar daripada mereka bertempiaran lari setelah menyedari `serangan' tersebut.
Ketika serbuan dilakukan terdapat kira-kira 150 pengikut Ayah Pin bersama ahli keluarga mereka berada di perkampungan yang pembinaannya mencecah RM1 juta. Semua 35 buah rumah di perkampungan tersebut termasuk rumah Ayah Pin tidak dibakar oleh penyerang.
Ayah Pin dan ajarannya sekali lagi menarik tumpuan umum setelah 21 orang yang dipercayai mengikut ajaran sesat itu ditahan dalam serbuan oleh pihak berkuasa pada 2 Julai lalu. Ayah Pin yang mendakwa sebagai pemimpin Kerajaan Langit masih bebas dan dia sendiri dilaporkan bersedia untuk ditangkap sekiranya dia melakukan kesalahan.
Namun kerajaan negeri dilaporkan masih mengumpulkan bukti untuk mendakwanya walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan ajaran Ayah Pin itu sebagai ajaran sesat. Banyak pihak mempersoalkan kenapa kerajaan masih berlembut.
Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner 1 Hussin Ismail memberitahu pemberita lewat petang ini berkata, sehingga kini polis masih menyiasat identiti kumpulan tersebut dan motif serangan mereka.
``Kita sedang mengumpulkan bukti-bukti termasuk mendapatkan keterangan saksi berhubung kejadian tersebut,'' katanya yang enggan mengulas lanjut.
Sehari sebelum kejadian, para wartawan tempatan telah dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) `misteri' bahawa satu perhimpunan besar-besaran membabitkan 10,000 orang penduduk akan berlaku di hadapan markas Ayah Pin kira-kira pukul 9 pagi ini.
Saksi-saksi yang ditemui memberitahu kejadian berlaku terlalu pantas dengan lelaki-lelaki bertopeng itu memanjat pagar dan menyerbu masuk ke markas tersebut yang dikawal oleh beberapa orang pengikut Ayah Pin.
Seorang pengikut Ayah Pin, Wan Mohamad Husni, 37, berkata, pada mulanya dia ternampak dua tiga orang lelaki berpakaian hitam berlegar-legar di luar pintu utama.
``Tiba-tiba lelaki-lelaki itu memanjat pagar dan diikuti oleh puluhan lelaki lain yang memakai topeng dan berjubah yang menyerbu dan membakar replika-replika yang ada di taman.
``Melihat keadaan itu, saya terus memberitahu penduduk lain agar segera menyelamatkan diri ke ladang getah berhampiran,'' katanya.
Jusoh Hussin, 47, pula memberitahu bahawa keadaan semasa itu amat menakutkan dan dia bernasib baik kerana sempat melarikan diri bersama penduduk lain.
``Kami tidak berani melawan kerana sebahagian daripada penghuni sedang tidur, manakala, kami tidak tahu senjata yang digunakan oleh penyerang,'' katanya yang berasal dari Kelantan dan menjadi pengikut Ayah Pin sejak 30 tahun lalu.
Ditanya di mana Ayah Pin ketika serbuan itu berlaku, dia bagaimanapun enggan menjelaskan di mana ketuanya tetapi sekadar memberitahu Ayah Pin tidak kelihatan di perkampungan itu sejak kelmarin.
Jusoh turut menunjukkan beberapa buah kereta milik penduduk yang cerminnya dipecahkan oleh kumpulan penyerang yang tidak dikenali itu.
``Saya bersyukur kerana semua penduduk di sini selamat dan rumah-rumah mereka tidak dibakar,'' katanya.
Seorang pengikut Ayah Pin yang mahu dikenali sebagai Pak Ku berkata, dia terdengar tiga letupan kuat dan arahan daripada orang yang memakai jubah dan menutup muka, memberi amaran agar penghuni di perkampungan itu tidak keluar dari rumah.
``Tetapi saya tetap keluar dan saya melihat beberapa orang yang menutup muka sedang membakar replika dan ada yang membakar tayar,'' katanya.
Pak Ku berkata bahawa sebelum penceroboh itu meninggalkan perkampungan itu, dia mendengar seorang daripada mereka melaungkan azan di pintu masuk ke tempat itu.
Seorang lagi pengikut setia Ayah Pin yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah, 47, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, Nurhayati Md. Nur, 27 dan dua orang anaknya berusia dua dan lima tahun sedang tidur.
``Saya memutuskan untuk berlindung dalam rumah bersama-sama isteri dan anak-anak. Dari dalam rumah, saya dapat melihat api membakar beberapa replika dan bunyi cermin kereta dipecahkan,'' ujarnya yang juga berasal dari Kelantan.
Menurut Abdullah lagi, setelah pihak penceroboh beredar, para penduduk memberanikan diri untuk memadamkan kebakaran termasuk di dalam dewan perhimpunan.
Info tambahan:
Seorang pengikut Ayah Pin, Wan Mohamad Husni, 37, berkata, pada mulanya dia ternampak dua tiga orang lelaki berpakaian hitam berlegar-legar di luar pintu utama.
``Tiba-tiba lelaki-lelaki itu memanjat pagar dan diikuti oleh puluhan lelaki lain yang memakai topeng dan berjubah yang menyerbu dan membakar replika-replika yang ada di taman.
Oleh itu, berperanglah pada jalan Allah; engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri dan berilah perangsang kepada orang-orang yang beriman supaya turut berjuang dengan gagah berani. Mudah-mudahan Allah menahan bahaya serangan orang-orang yang kafir itu dan (ingatlah) Allah Amatlah besar kekuatanNya dan Amatlah berat azab seksaNya.
ReplyDeleteSesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya dia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya dia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
ReplyDeleteTidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.
ReplyDelete