SAH ATAU TIDAK APABILA KAHWIN LARI GUNA WALI HAKIM???
Biasanya mereka lari ke negara jiran untuk bernikah secara mudah. Tindakan mengelak daripada melalui proses biasa, lazimnya kerana mereka mahu berpoligami tetapi tidak dapat melepasi syarat-syarat yang dikenakan oleh undang-undang dan (atau) tidak mahu perkahwinan tersebut diketahui oleh isteri pertama.
Ada juga yang bertindak untuk kahwin lari kerana pilihan mereka tidak direstui oleh orang tua.
Kahwin lari sebenarnya suatu kesalahan dan undang-undang memperuntukkan hukuman denda atau penjara terhadap kesalahan ini. Walaupun hukuman telah diperuntukkan terhadap kesalahan ini, akan tetapi fenomena ini seakan tidak nampak bila surutnya. Sekiranya status pernikahan tidak jelas dan tidak didaftarkan tentulah ia memberi implikasi yang sangat tidak baik.
Saya fikir, hati nurani mereka sebenarnya tidak dapat mengelak daripada tertanya-tanya tentang kedudukan pernikahan mereka yang sebenar. Walaupun dari sudut hukum kemungkinan pernikahan tersebut sah, tetapi dengan ketiadaan dokumen yang diakui oleh undang-undang negara, menjadikannya tidak diiktiraf oleh undang-undang.
Anak-anak yang lahir daripada perkahwinan yang tidak didaftarkan juga menerima tempias kesan yang tidak baik. Segala perkara rutin yang memerlukan dokumen yang sah tentunya tidak akan dapat dibuat disebabkan ketiadaan dokumen yang diperlukan.
Umpamanya perkara-perkara yang melibatkan kesihatan, persekolahan dan tabungan di bank. Sekiranya fenomena ini menjadi berleluasa, ia akan memberi kesan kepada kesejahteraan masyarakat keseluruhannya.
Disebabkan perkahwinan ini biasanya akibat daripada keengganan bapa untuk memberi restu kepada pasangan, maka tentulah si bapa enggan untuk menjadi wali kepada pernikahan tersebut. Maka perkahwinan tersebut menggunakan wali hakim.
Ada juga keadaan yang ibu bapa tidak tahu-menahu langsung tentang tindakan kahwin lari oleh anak-anak mereka. Di sini timbul persoalan sama ada pernikahan yang dilangsungkan dengan menggunakan wali hakim ini, memang disebabkan ketiadaan wali ataupun lari daripada wali.
Mereka yang berkahwin lari beranggapan walaupun ia merupakan kesalahan, tetapi ia bukan masalah yang berat. Ini kerana perkahwinan yang sah tetap boleh didaftarkan melihat kepada tempat pernikahan dijalankan itu berada lebih dua marhalah (lebih kurang 91 kilometer) dari tempat tinggal wali. Akan tetapi sebenarnya, perkara yang lebih penting daripada jarak jauh itu adalah penafian bapa sebagai wali itu sama ada munasabah atau tidak.
Wali hakim hanya boleh memainkan peranan dalam keadaan bapa masih wujud, sekiranya terdapat sebab-sebab yang dibenarkan, iaitu dalam keadaan yang memenuhi hukum Syarak. Sebaliknya, sekiranya keengganan wali itu disebabkan alasan yang munasabah, maka tidak wujud ruang bagi mana-mana wali hakim untuk mengambil peranan.
Dan yang lebih penting lagi untuk diketahui, keengganan wali atas alasan yang munasabah boleh membatalkan pernikahan tersebut.
Bagi menentukan sama ada keengganan bapa itu munasabah atau tidak, antaranya adalah sebagaimana yang diputuskan dalam kes Haji Mohamed lawan Bahrunnasran dan Mazliani Mohamed.
Dalam kes yang diputuskan pada tahun 1997 ini, bapa selaku wali mujbir membuat permohonan pembatalan pernikahan antara Bahrunnasran dengan Mazliani, anaknya. Permohonan ini dibuat atas alasan pernikahan tersebut dibuat tanpa pengetahuan dan keizinannya sebagai bapa merangkap wali, pasangan anaknya tidak sekufu kerana Bahrunnasran seorang pesakit HIV dan merupakan penagih dadah.
Pernikahan antara kedua-duanya telah dibuat sebanyak dua kali, dengan yang pertama dilangsungkan di Pasir Puteh, Kelantan iaitu dalam negeri melalui wali hakim, dan yang kedua di Narathiwat, Thailand. Permasalahan dalam pernikahan yang pertama timbul kerana dinikahkan dengan wali hakim sedangkan wali sebenar masih ada.
Permasalahan dalam pernikahan yang kedua pula timbul bukan disebabkan rukun nikah kerana jarak jauh yang memang melangkaui dua marhalah dari tempat tinggal wali, tetapi disebabkan kedua-duanya dilihat sebagai tidak sekufu dari pihak calon suami yang berpenyakit HIV dan menagih dadah.
Dalam kes ini Mahkamah memutuskan bahawa tindakan wali hakim berkenaan bertentangan dengan kehendak hukum Syarak kerana telah menyatukan dua pihak yang tidak padan (sekufu) dan perkahwinan yang dijalankan sama ada di Kelantan mahupun di Narathiwat adalah tidak sah menurut hukum Syarak. Ini menunjukkan bahawa pernikahan yang dilaksanakan di luar lingkungan dua marhalah belum tentu sah walaupun menggunakan wali hakim, dalam keadaan wali asal masih ada dan wali asal mempunyai alasan yang munasabah untuk menghalang pernikahan daripada berlaku.
Bidang kuasaPeruntukan sudah pun wujud dalam Seksyen 13(b) Undang-undang Keluarga Islam yang memperuntukkan bahawa, "Sesuatu perkahwinan adalah tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah Akta ini melainkan kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu telah bersetuju terhadapnya, dan sama ada - (a) wali pihak perempuan telah bersetuju terhadap perkahwinan itu mengikut Hukum Syarak; atau (b) Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana pihak perempuan itu bermastautin atau seseorang yang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh Hakim Syarie itu telah, selepas penyiasatan wajar di hadapan semua pihak yang berkenaan, memberi persetujuannya terhadap perkahwinan itu oleh wali Raja mengikut Hukum Syarak; persetujuan tersebut boleh diberi jika perempuan tiada mempunyai wali dari nasab mengikut Hukum Syarak atau jika wali tidak dapat ditemui atau jika wali enggan memberikan persetujuannya tanpa sebab yang mencukupi".
Sebenarnya konsep dua marhalah bagi tujuan pernikahan sebegini hanya sesuai bagi keadaan perkahwinan yang dilangsungkan di luar negara dan tidak memungkinkan bagi pihak-pihak dalam perkahwinan tersebut untuk kembali ke tanah air dalam tempoh tertentu sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 31 Akta Undang-undang Keluarga Islam.
Dalam keadaan ini, sekiranya perkahwinan yang hendak dilangsungkan itu tidak mencapai rukun nikah seperti lazimnya iaitu tidak adanya wali, maka barulah wali hakim akan mengambil tempat wali asal untuk menyempurnakan rukun nikah tersebut.
Wajar untuk diketahui bahawa, pasangan yang hendak berkahwin tetapi kehendak mereka tidak direstui oleh orang tua, dalam keadaan mereka menganggap bahawa perhubungan tersebut tidak ada cacat celanya dari segi Syarak dan adat, undang-undang sebenarnya memberikan ruang yang selesa kepada mereka untuk meneruskan hasrat mulia tersebut.
Walaupun pada dasarnya doa restu orang tua itu sangat penting dan menjadi batu asas sesebuah perkahwinan yang hendak didirikan, akan tetapi garis panduan yang telah diberikan agama itu sebenarnya lebih mengatasi pertimbangan dan kata hati sesiapa. Melalui pandangan para ulama, soal kufu atau sifat padan pasangan itu sepatutnya menjadi neraca untuk memilih pasangan. Pandangan para ulama bersifat sangat bernas untuk dijadikan sebagai panduan.
Seandainya hubungan tidak direstui disebabkan hal-hal yang remeh-temeh dan ia dibangkitkan oleh ahli keluarga, kahwin lari bukanlah penyelesaian yang bijak kerana Mahkamah Syariah bersedia untuk mendengar permohonan bagi kes seumpama ini.
Sebagaimana yang disebutkan oleh Seksyen 13(b) sebelum ini, sekiranya wali enggan memberikan persetujuan tanpa alasan yang sempurna, Mahkamah akan membenarkan perkahwinan yang diniatkan itu untuk diteruskan dengan menggunakan wali hakim. Inilah jalan penyelesaian yang sebenar, iaitu membawa masalah ke muka pengadilan. Di sini tidak timbul soal menjadi anak derhaka atau membelakangi orang tua kerana undang-undang mengatasi semua orang dan setiap orang tertakluk kepada undang-undang. Tanpa mengira siapa pun seseorang itu, ia perlu mematuhi undang-undang dan menerima keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah.
Penyelesaian perlu dibuat bagi mengatasi masalah yang tidak kunjung surut ini dan salah satu jalan penyelesaiannya ini adalah dengan menjalankan kajian imperikal mengenai hukum 'kahwin lari'. Kajian ini kemudian seharusnya dipanjangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dengan melihat semula hukum yang telah dikeluarkan pada Fatwa Kebangsaan Kali ke-52, iaitu pada tahun 2002 yang lalu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.