Mengikut ajaran Agama Islam, penyebarannya dapat dilakukan melalui dua kaedah, iaitu dakwah, dan penaklukan apabila usaha dakwah dihalang. Di jazirah Arab, Afrika dan Timur Tengah, para sahabat Rasulullah SAW, diikuti oleh para tabiin dan seterusnya taba’ tabiin telah meluaskan empayar Islam melalui penaklukan-penaklukan ke atas wilayah-wilayah seperti Turki, Farsi, India, Mesir, Sepanyol dan lain-lainnya.
Ekpedisi-ekspedisi penaklukan seperti ini seringkali melibatkan sejumlah tenaga tempur, kenderaan dan berbagai alatan peperangan yang lain. Kaum Muslimin pula menggunakan jalan darat untuk ke tempat-tempat tujuan di bumi Arab dan yang berhampiran dengannya.
Jika dibandingkan dengan cara pengembangan Islam yang dibuat di dunia Arab dan Afrika, senario pengembangan Islam di rantau Nusantara jauh berbeza. Di sini, pengenalan dan penyebaran Agama Islam kebanyakannya dibuat melalui jalan dakwah, namun ianya dapat diterima dengan senang hati dan berlapang dada oleh sebilangan besar masyarakat tempatan. Berlebih lagi, dunia di timur jauh ini tidak banyak terdedah kepada pergolakan dan kacau bilau politik berbanding dengan dunia di timur tengah yang menjadi saksi kepada berbagai peristiwa-peristiwa pergolakan politik dan agama yang bukan sahaja melibatkan puak-puak dari satu kaum atau bangsa, tetapi juga melibatkan pergolakan dengan kaum Yahudi dan Nasrani yang sememangnya menjadi musuh tradisi umat Islam.
Penyebaran agama yang dibawa melalui kaedah dakwah lisan yang disempurnakan dengan begitu baiknya oleh mubaligh-mubaligh dan alim ulamak Islam awal dari ‘atas angin’ telah diterima tanpa banyak bangkangan oleh kaum-kaum di kebanyakan tempat di sini. Kecualilah di sesetengah tempat dimana anutan agama masyarakat tempatan seperti Hindu dan Buddha memerlukan kepandaian berdebat dengan pendeta-pendeta mereka, atau pun halangan yang datangnya dari pembesar-pembesar tempatan yang memegang teguh pada adat yang bertentangan dengan ajaran Agama Islam. Dalam situasi ini, halangan yang ditempuh lebih sukar, namun akhirnya tetap juga dapat diatasi dan para mubaligh ini lalu diterima dengan baik oleh sebilangan besar masyarakat jika tidak pun kesemuanya.
Kaum Sayyid yang datang secara beramai-ramai di rantau ini sebelum Islam mula dikenali, iaitu mulai abad ke-14M merupakan para mubaligh yang kebanyakannya juga menjadi alim ulamak, menjadikan dakwah dan pendidikan Islam maksud hidup mereka sedangkan perdagangan hanya sebagai menyara kehidupan. Mereka dikenali sebagai ahlul bait ‘gelombang pertama’ yang muncul di rantau ini. Pekerja-pekerja agama ini begitu mudah diterima oleh masyarakat tempatan yang melihat pada diri mereka sifat-sifat kemuliaan, keunggulan dan keistimewaan yang dikira tidak layak diberikan status am pada masyarakat. Dengan berlatarbelakangkan adat dan tamaddun kuno yang masih jauh dari ideal sebuah masyarakat madani dan berbudaya, penduduk-penduduk tempatan langsung saja menerima ajaran Islam bawaan para mubaligh dan alim ulamak ini dengan segala kegembiraan dan berlapang dada. Dan sebagai menghargai ajaran Agama Islam yang suci, ditambah pula dengan ketokohan sifat-sifat semulajadi mereka sebagai pemimpin, masyarakat tempatan merasa rugi jika tidak dapat menefaatkan ilmu dan kepimpinan mereka, lalu merasa amat besar hati jika mereka dapat diberikan status istimewa sebagai raja, pemerintah atau sekurang-kurangnya menjadi penasihat dan ketua-ketua agama bagi mereka. Apatah lagi ajaran Agama Islam itu sendiri menyuruh diutamakan nasab bangsa Quraisy sebagai pemimpin ummah.
Maka atas peranan serta jasa yang dicurahkan oleh golongan mubaligh dan alim ulamak ahlul bait dari gelombang pertama dalam penyebaran dan penganutan Agama Islam masyarakat di rantau Nusantara ini, mereka sering diberi pengiktirafan, kemuliaan serta penghormatan dari pemerintah dan rakyat jelata sehingga dikurniakan kedudukan tinggi dalam hierarki masyarakat. Sesetengah dari mereka mendapat kedudukan yang tertinggi seperti menjadi wazir, mufti, kadhi dan imam negeri. Sesetengahnya pula dikurniakan daulah kesultanan oleh penduduk yang didakwahkannya melalui perkahwinan dengan puteri penguasa-penguasa masyarakat, sementara sebilangan yang lain terus dinaikkan takhta sebagai raja pertama dari dinasti Quraisy jurai Bani Hasyim yang mengamalkan pemerintahan Islam beraja.
Oleh itu tidak hairanlah apabila kebanyakkan ahlul bait Rasulullah SAW dari gelombang pertama yang datang ke Alam Nusantara kemudiannya mendapat penghormatan melalui perkahwinan mereka dengan puteri pemerintah atau penguasa negeri yang mempunyai gelaran kemuliaan atau bangsawannya sendiri. Anak dari hasil perkahwinan ini langsung mengambil gelaran kemuliaan dari nasab bondanya. Asimilasi menjadi sempurna apabila bukan sahaja rupa, budaya dan pemikiran diadaptasi dan disebatikan dengan masyarakat tempatan, bahkan gelaran Syarif, Sayyid atau Habib yang memberikan identiti sebenar mereka juga turut ditinggalkan.
Zuriat Sayyid Jamaluddin Al-Hussein (Syed Hussein Jamadil Kubra) dari kalangan Wali Songo yang terkenal di Tanah Jawa ada yang berkahwin dengan wanita bangsawan dari kalangan orang istana tempatan dan menggantikan gelaran Sayyid pada nama mereka dengan gelaran Raden, atau menghilangkan terus gelaran secara sukarela apabila sistem pemerintahan beraja dihapuskan terus selepas kedatangan penjajah Belanda. Di Malaysia pula, mereka yang mempunyai gelaran Nik, Long dan Wan pada nama lahir mereka lazimnya akan mendapati salasilah mereka sebenarnya bersusur galurkan dari keturunan Rasulullah SAW, juga dari zuriat Jamaluddin Al Hussein ini. Begitu juga bagi gelaran Pangeran di Brunei atau Wan di Acheh.
Sejarah yang tercatit dalam karangan-karangan lama banyak menukilkan peranan individu para ahlul-bait dari gelombang pertama yang datang ke Alam Nusantara mulai abad ke 14 Masihi dan sentuhan mereka dalam mewarnai suasana politik serta pengembangan syiar Islam di bumi Nusantara ini, antaranya;
Sejarah Melayu menukilkan akan perihal beberapa ulamak yang tinggal di Melaka untuk menjalankan kegiatan dakwah. Mereka telah mendapat tempat dalam hati raja Melaka dan pembesar-pembesar negeri dan diberi tugas khas mengadakan pengajian agama bagi raja, orang-orang besar serta rakyat jelata. Mereka sentiasa diberi tempat yang istimewa di dalam sesuatu upacara rasmi negara dan turut mengiringi keberangkatan Raja Melaka. Antara ulamak yang disebut ialah Makhdum Sayyid Abdul Aziz. Beliaulah yang bertanggungjawab mengislamkan Raja Tengah Melaka yang setelah itu bergelar Raja Muhammad.
Dalam masa pemerintahan Sultan Mansur Syah dalam tahun 1456-1477M, seorang ulamak dan tokoh sufi dari Mekah yang bernama Sayyid Abu Bakar telah datang ke istana Melaka dengan membawa sebuah kitab agama tentang ilmu tasawwuf. Kitab tersebut berjudul Ad-Durr Al-Manzum tertulis dalam bahasa Arab. Dengan perintah Sultan, kitab tersebut telah dihantar ke Pasai untuk disalinkan ke dalam bahasa Melayu. Apabila dibawa pulang dari Pasai, kitab tersebut telah diarakkan dengan penuh kemeriahan ke istana. Setelah berjaya menyebarkan agama Islam dan ajaran tasawwuf di negeri Melaka, Sayyid Abu Bakar telah pergi pula ke daerah-daerah lain di Indonesia, Borneo dan seterusnya ke Filipina.
Buku Islam dalam sejarah Asia Tenggara Tradisional mencatatkan tentang zaman pemerintahan Al-Ma’moun, iaitu salah seorang Khalifah Bani Abbassiyah dimana tercetusnya suatu pemberontakan kaum Alawiyah yang dipimpin oleh seorang ahlul-bait, Muhammad bin Jaafar Al-Sadiq. Oleh kerana kalangan pemberontak ini gagal, mereka membuat keputusan menubuhkan suatu angkatan dakwah seramai 100 orang dan telah datang ke Perlak, sebuah negeri di kepulauan Sumatera dalam tahun 840M. Semasa itu Perlak diperintah oleh Meurah Shahr Nuwi dari keturunan Parsi. Beliau kemudiannya telah mengahwinkan adik kandungnya Puteri Makhdum Tanshuri dengan salah seorang anggota dai’ee yang datang tersebut. Hasil dari perkahwinan ini lahirlah Sayyid Abdul Aziz yang kemudiannya dilantik sebagai raja pertama kerajaan Perlak.
Menurut Salasilah Maguindanao (Mindanao) seorang mubaligh Islam bernama Syarif Awliya telah mengunjungi Maguindanao. Beliau kemudiannya telah berkahwin dengan puteri seorang pembesar tempatan dan mendapat seorang anak, yang dipanggil Paramisuli, kemudiannya Syarif Awliya telah meninggalkan negeri itu. Selepas itu, dua orang bersaudara yang bernama Syarif Hassan dan Syarif Maraja pula telah mengunjungi Filipina dalam tahun 1460M. Syarif Hassan tinggal di Sulu dan Syarif Maraja pergi ke Slangan. Di situ dia telah berkahwin dengan Paramisuli, puteri Syarif Awliya. Selepas kedatangan dua bersaudara itu barulah dikatakan datangnya Syarif Muhammad Kebungsuwan dalam tahun 1515M, lalu menetap dan mengasaskan kerajaan Maguindanao Islam yang pertama.
Buku Sejarah Perak mengatakan bahawa Sultan Perak yang pertama, iaitu Sultan Muzaffar Shah I (1528-1549M) telah berguru dengan seorang ulamak yang bernama Sayyid Hussein Al-Faradz. Buku Sejarah Alam Melayu pula mengisahkan bagaimana Sultan Iskandar Perak telah menempatkan salah seorang dari kaum Sayyid Alawiyyin iaitu Sayyid Abu Bakar pada kedudukan sebagai Bendehara Kesultanan Perak. Saudaranya yang bernama Sayyid Hasyim Al-Ashghar beroleh kepercayaan menyusun peraturan ke-99 bagi kesultanan tersebut.
Sesungguhnya ras ke dai’eean dalam diri ahlul-bait merupakan hanya satu di antara banyak ras-ras istimewa lainnya yang diwarisi dari nenda mereka, Rasulullah SAW yang tidak dapat tidak akan terzahir juga pada sebilangan cucu cicit baginda dimana sahaja atau di zaman manapun mereka berada. Oleh itu tidaklah menghairankan, apabila Serjeant, R.B dalam bukunya yang bertajuk The Sayyids of Hadramaut (hal 3) menegaskan bahawa “To know the Sayyids is to comprehend at least something of their great ancestor, the founder of Islam (Nabi Muhammad SAW)”. (Terjemahan : Mengenali golongan Sayyid akan sedikit sebanyak memberi kefahaman kepada kita mengenai nenek moyang mereka yang terunggul, iaitu Nabi Muhammad SAW).
Salam Alaikum Warahmatullah Wabarakatuh..MasyaAllah tuan blog, blog ini sgt menarik dan sebahagiannya baik utk menjadi rujukan kami (pangeran's family) ..maafkan sy utk meneruskan, bukan niat utk menggurui atau apa2..sy seorang Umat Rasulullah SallallahuAlaihiWassalam yg claimed cinta kpd baginda ttp mengkhianati baginda pd masa yg sama, sy cinta kpd pencinta Habibullah Rasulullah SallallahuAlaihiWassalam dan apabila merasa goyang, sy mahu penjelasan dr tuan ttg caca marba politik yg berlaku menjauhkan umat ISLAM dr kesatuan umat..dlm blog tuan terdapat bbrp artikel yg menjurus kpd isu politikal..scr terus terang, sy tiada minat utk berparti krn rata2 yg saya lihat semua menjurus kpd kebobrokan aqidah dan akhlak, sy yakin tuan lebih mengerti realiti ini..sy juga takkan menzahirkan ketaatan membbi buta kpd pemimpin negara krn jelas dia bukan seorang amir yg taat perintah Allah...gejala hedonisma juga semakin berkembang malah diredhai oleh elitist politik, kempimpinan dan ulama2 yg berada ditepi pintu sang penguasa (seburuk-buruk makhluk)..mohon tuan nasihati saya....di manakah pohon utk saya bertaut??...
ReplyDelete