Apabila Islam telah mula menapak kukuh dan tersebar dengan meluasnya di merata-rata tempat di rantau ini disamping mempunyai sistem pemerintahan kesultanan-kesultanan Islam yang berdaulat dan teratur, maka kaum Sayyid yang datang selepas itu, iaitu mulai abad ke 18 hingga abad ke 20 Masihi, muncul lebih kepada tujuan politik dan ekonomi dari dakwah.
Contohnya pada awal abad ke 20 Masihi, kedudukan Syarif-Syarif Mekah mulai tergugat dimana akhirnya mereka terpaksa menyerahkan kerusi pemerintahan kota suci Mekah dan Madinah kepada puak Saudi Wahabi dari kaum Arab Badwi. Dikatakan dalam masa ini puak Saud yang ingin menghapuskan golongan Sayyid Hadramaut telah memusnahkan kitab-kitab agama dan makam-makam alim ulamak yang mereka tuduh sebagai bidaah. Ini telah mengakibatkan ramai Sayyid Hadhrami berhijrah kerana terdedah kepada ancaman penindasan dan penganiayaan Saudi’yyah, sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman datuk nenek dalam pergolakan dengan Dinasti Umayyah dan Abbassiyyah. Sebahagian mereka memilih untuk berhijrah ke rantau ini atas kesedaran bahawa bumi Nusantara bukan sahaja ‘redup’ dengan kaum kerabat mereka yang ramai bermukim di sini sejak beberapa ratus tahun dahulu, malahan kesultanan-kesultanan di Alam Nusantara kebanyakannya adalah merupakan dinasti-dinasti Quraisy jurai Bani Hasyim sendiri.
Oleh kerana semenjak abad ke 18 Masihi, sudah kedapatan ramai kaum Sayyid di rantau ini yang merupakan keturunan ahlul bait Rasulullah SAW dari ‘gelombang pertama’, dan kini menjadi pemerintah, golongan bangsawan, alim ulamak serta rakyat biasa, maka kelompok ahlul-bait gelombang kedua yang datang kemudian secara berperingkat-peringkat tidak lagi mendapat keistimewaan sebagaimana yang diberikan kepada kelompok ahlul bait dari gelombang pertama yang datang lebih awal tadi. Maka perkahwinan diantara mereka dengan puteri-puteri golongan bangsawan walaupun masih ada, tetapi makin berkurangan, dengan ini asimilasi dengan masyarakat tempatan kurang berlaku. Apatah lagi di awal kedatangan ahlul bait gelombang kedua ini, kebanyakan dari kalangan mereka hanya berkahwin dengan lelaki atau wanita yang senasab dengan mereka. Contohnya, Sayyid berkahwin dengan Syarifah sahaja atau sebaliknya. Dalam erti kata lain, mereka tidak langsung ‘disatukan’ identitinya dengan masyarakat tempatan melalui perkahwinan seperti yang telah berlaku pada ahlul bait gelombang pertama di rantau ini. Perkahwinan seorang Sayyid dengan wanita dari golongan bukan Sayyid (golongan Ajam) jarang berlaku dan tidak digalakkan. Oleh itu, walaupun budaya dan adat masyarakat setempat telah bersebati dalam kehidupan golongan ini diatas pergaulan sosial keluarga, natijahnya, bentuk rupa, dan kadangkala pemikiran mereka masih ‘kearaban’ lagi.
Ahlul bait dari gelombang kedua ini lebih mudah dikenali melalui prediket keturunan yang masih disimpan seperti Sayyid, Syarifah dan Habib. Banyak juga keluarga dari kelompok ini yang masih menyimpan dan menjaga dengan baik susur galur salasilah keturunan mereka.
Dalam konteks kemunculan ahlul bait gelombang kedua di rantau ini, jika dibandingkan dengan ahlul bait dari gelombang pertama yang diberikan berbagai keutamaan, penghormatan dan kemuliaan oleh umat Islam, ahlul bait gelombang kedua kurang mendapat layanan sebegitu, kerana umat Islam di zaman belakangan tidak belajar atau diajar akan hakikat nilaian nasab para ahlul-bait dan keutamaan mereka di sisi agama, apatah lagi dalam soal peradaban dan perhubungan dengan mereka seperti yang dituntut oleh Agama Islam.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.